3 Sindiket Dadah tumpas, Rampasan Cecah RM208 Juta — Rumah Mewah Jadi Stor Dadah

dadah antrabangsa

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi mencatat kejayaan besar apabila melumpuhkan tiga sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan tempatan, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM208.25 juta.

Kejayaan itu dicapai menerusi siri operasi khas yang dijalankan oleh Bukit Aman bermula 30 Januari hingga 3 Februari, sekali gus membuktikan kesungguhan pihak berkuasa membanteras jenayah dadah yang cuba menjadikan Malaysia sebagai hab transit dan pasaran.

13 Individu Ditahan, Termasuk Dalang Utama

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan seramai 13 individu, termasuk warga asing, berjaya ditahan dalam operasi dikenali sebagai Op Apiocera, Op Diogma dan Op Allograpta.

Mereka dipercayai berperanan sebagai dalang utama, keldai dadah serta penghantar (transporter) bagi sindiket berkenaan.

Rumah Elit Dijadikan Stor Dadah Bernilai RM180 Juta

Menurut Datuk Hussein, rampasan terbesar direkodkan menerusi Op Apiocera, apabila polis membongkar kegiatan sindiket yang menjadikan kediaman mewah sebagai pusat penyimpanan dan pembungkusan dadah sintetik.

Serbuan yang dijalankan dari 31 Januari hingga 2 Februari membabitkan sebuah rumah teres di Kepong, Kuala Lumpur dan sebuah kondominium di Subang Jaya, Selangor.

Hasil pemeriksaan menemukan lambakan dadah sedia edar, antaranya:

Serbuk MDMA (843.8 kg)

Pil Erimin 5 (325.2 kg)

Pil ekstasi (104.3 kg)

Ketamin (97.7 kg)

Methamphetamine (9.5 kg)

Keseluruhan dadah ini dianggarkan bernilai RM180 juta.

Siasatan mendapati sindiket itu diketuai seorang lelaki tempatan, dibantu kekasihnya seorang wanita warga asing, yang bertindak mengurus pengedaran untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Bagi mengaburi pihak berkuasa, mereka menyewa kediaman di kawasan elit sebelum dijadikan stor rahsia dadah.

Polis turut menyita tiga kenderaan mewah iaitu Toyota Alphard, Honda Accord dan Perodua Myvi, dengan nilai sitaan keseluruhan RM118,800.

Bunga Ganja RM15 Juta Dipatahkan Di KLIA

Dalam Op Diogma, polis berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup bunga ganja ke luar negara menggunakan keldai dadah di KLIA Terminal 1 pada 2 dan 3 Februari.

Seramai enam individu berusia antara 31 hingga 37 tahun ditahan hasil serbuan susulan di Selangor dan Pulau Pinang.

Rampasan melibatkan 188 kilogram bunga ganja bernilai kira-kira RM15 juta, dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui laluan tikus di Chuping dan Padang Besar, Perlis, sebelum disimpan di Lembah Klang.

Methamphetamine RM13.25 Juta Dipintas Di R&R

Sementara itu, Op Allograpta yang dijalankan pada 30 Januari berjaya memintas penghantaran 265 kilogram Methamphetamine bernilai RM13.25 juta.

Tiga lelaki tempatan berusia 40 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan di R&R Genting Sempah, Pahang serta kawasan parkir sekitar Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Sindiket ini menggunakan taktik kereta sewa, di mana kenderaan berisi dadah ditinggalkan di lokasi tertentu sebelum diambil oleh ahli sindiket lain tanpa perlu bersemuka.

Polis Tegas, Tiada Kompromi Dengan ‘Jerung Dadah’

Datuk Hussein menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk dalang atau ‘jerung’ dadah yang cuba merosakkan keselamatan dan imej negara.

Kesemua suspek kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tiga suspek Op Allograpta telah pun didakwa di mahkamah.

Sumber : Hmetro